Sejarah PSSCM Cawangan Terengganu

2013-07-10 - Sijil Pendaftaran ROS - PSSCM Caw TerengganuSejarah Persatuan Seni Silat Cekak Cawangan Terengganu (PSSCMCT) bermula apabila Almarhum Ustaz Haji Hanafi yang telah beberapa kali datang ke Negeri Terengganu. Sekitar tahun 1985, Almarhum telah datang berkunjung ke rumah sewa Tuan Haji Kassim bin Husin dan Mohd Adanan  Mohd Dom di Jalan Pusara, Kuala Terengganu. Dalam pertemuaan tersebut Almarhum telah menyatakan hasrat dan berharap  untuk menubuhkan PSSCM Cawangan Terengganu.

Rentetan dari hasrat tersebut, saudara Adanan yang ketika itu  bertugas di Terengganu telah berusaha untuk menubuhkan PSSCM Cawangan Terengganu. Namun demikian, usaha beliau tidak lama kerana beliau telah diarahkan untuk bertugas ke Pahang.  Walaupun begitu, usaha murni ini tidak terhenti begitu sahaja kerana Tuan Haji Kassim telah meneruskan perjuangan tersebut dan dengan kehendak Allah SWT, usaha untuk menubuhkan PSSCMCT telah menemui kejayaan.

PSSCMCT telah berjaya ditubuhkan pada 29 Januari 1988 dengan pembentukan satu Jawatankuasa Penaja. Kejayaan tersebut adalah hasil usaha Tuan Haji Kassim bin Husin yang ketika itu turut  dibantu oleh lima orang ahli  PSSCMCT melalui beberapa siri perjumpaan. Ahli-ahli yang terlibat membantu ialah Mohd Nasir bin Abdul Salam, Dr Amirullah bin Mohd Arshad, Wan Khalid bin Mohamed, Tuan Haji Megat Ngah bin Megat Jusoh dan Mazlan bin Che Wil.

Hasil kerjasama keenam-enam ahli jawatankuasa Penaja, Pejabat PSCMCT dapat beroperasi di sebuah rumah yang beralamat di 503, Jalan Pintasan Kuala Terengganu dengan kadar sewa RM120.00.  Dalam tempoh ini, PSSCMCT telah banyak mengharungi pelbagai rintangan dan dugaan untuk memperkenalkan Silat Cekak kepada masyarakat khususnya rakyat Terengganu.  Akhirnya, pada 19 Mac 1988, Majlis Ijazah Asas yang pertama telah diadakan bagi ahli-ahli baru.  Majlis Ijazah Asas Pertama ini telah diadakan di rumah kediaman  Tuan Haji Kassim yang ketika itu menetap  di Rumah Guru Sek. Men Sultan Sulaiman, Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.

Pendaftaran PSSCMCT telah diluluskan pada 13 Jun  1988 dengan Sijil Kebenaran No. PPM/TRG 246/7-15(2). Kelas pertama (KT1) terdiri daripada 22 orang ahli  yang kebanyakannya terdiri daripada pegawai kerajaan. Kelas pertama adalah di bawah seliaan En. Mohd Radzi bin Haji Hanafi yang didatangkan khas dari ibu pejabat.

Sepanjang kelas pertama berlangsung, usaha untuk menamatkan pelajaran adalah sedikit lewat kerana seringkali ketiadaan jurulatih.  Mereka dapat menamatkan pelajaran pada 15 Disember 1988. Kelewatan ini berlaku, berikutan En. Mohd Radzi ketika itu juga adalah penyelia kelas di Cawangan Johor, diikuti dengan masalah beberapa orang ahli mempunyai urusan kerja (outstation). Walaupun begitu, ahli-ahli tetap gigih dan menunjukkan kesabaran yang tinggi sehinggalah mereka dapat menghabiskan peringkat umum.

Kini, Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Cawangan Terengganu telah menjangkau usia 25 tahun. Pada 1 Oktober 1993, PSSCMCT telah berpindah dan menyewa sebuah  rumah yang beralamat di  340-D Jalan Sultan Omar, 20300 Kuala Terengganu dengan kadar sewa RM250 sebulan. Dalam tempoh ini, PSSCMCT sentiasa  berusaha melakukan pembaikan dalam pelbagai aspek bagi memartabatkan Seni Silat Cekak Malaysia.  Bertitik tolak dari usaha ini, PSSCMCT sekali lagi berpindah ke  rumah baharu agar pembaikan  dari segi pentadbiran dan latihan dapat dilakukan serta dipertingkatkan dari semasa ke semasa. “Bulat Air Kerana Pembentung, Bulat Manusia Kerana Muafakat, berkat kerjasama dan gotong royong sesama ahli, PSSCMCT secara rasminya beroperasi dan beribupejabat di 361-B Kampung Seberang Baruh, Chabang Tiga, 21000 Kuala Terengganu, Terengganu pada 16 Januari 2014. Sehingga kini, PSSCMCT sentiasa bergiat aktif dan maju ke hadapan dalam memperkembangkan Seni Silat Cekak Malaysia yang juga menjadi sebahagian Seni  Kebudayaan Melayu, sekaligus dapat memperjuangkan hak warisan mutlak orang Melayu agar terus mendapat tempat dalam arus perdana.

Advertisements